Kadang ku terkelu,
Melihat insan-insan pergi dulu satu-satu,
Adakah dunia nan menghilang?
Kematian mendatang semakin ramai,
Diundang tidak, dipaksa pun tidak,
Tanpa utusan, dia berjalan membawa pesan,
Benarlah Allah Maha Mematikan.
Kadang mataku mencerun,
Pabila berita mencecah gegendang telingaku,
Adakah kunjungan bakal tiba untukku?
Kadang ku termangu,
Pabila mereka katakan, “Allah sayangkan mereka”,
Mungkinkah masaku nanti
Itu sebabnya Allah juga kasihkanku?
Lebih dari yang belum beredar.
Kadang hatiku tersentuh,
Pabila jari-jemariku tarikan pena atas helaian,
Adakah akan ada teman
Yang menatap merindui tulisanku,
Seperti mana aku merindui sapaan mereka?
Kadang ku tak sanggup,
Pabila wajah ibu ayah menerjah fikiranku,
Apa mungkin akan ada tangis dalam hati mereka?
Kerana anak yang dipelihara pergi,
Seperti tak tersangka,
Apa itulah takdir?
Kadang ku takut,
Andai benar ada ruang untukku di sana,
Akan adakah amalan yang mengiringiku?
Buat menitip ruang damai dalam diam.
Kadang ku tertanya,
Andai benar gelap sunyinya di sana,
Akan adakah peneman di sampingku?
Bermain ayat bertukar senyum,
Buat mengisi ruang kosong antaraku dan amalku.
Tapi tak siapa tahu,
Cukupkah amalku selama hidupku?
Membina satu ruang dan pendamping setia,
Kerja yang bukan kecil untuk dibesarkan,
Membina ikatan erat dengan orang terdahulu,
Kadang sulit hingga tak ku tahu,
Apa aku memori indah atau tidak,
Apa selama ini baikkah aku pada mereka,
Harap benarkan saja segala persoalan.
Andai aku pergi,
Ya Allah, Ya Ghaffar,
Berikanlah tanda agar aku mengerti,
Amal diharap cukup untuk bertemu-Mu,
Andai khilafku setinggi gunung,
Tidak ku tahu bagaimana lagi untuk ditebus,
Maafkan aku andai masanya tiba,
Kerana ku tahu, aku hamba hina,
Dan sesungguhnya Engkaulah sebaik-baik penolong.
Amiin.
Comments